Belanja iklan internet diramal naik
PERBELANJAAN iklan dalam internet di seluruh dunia diunjurkan tumbuh 84 peratus antara 2005 hingga 2008.“Perbelanjaan iklan dalam internet di seluruh dunia diramal meningkat daripada 4.7 peratus pada 2005 kepada 5.7 peratus tahun ini dan kepada 7.3 peratus 2008.“Pada kadar ini, jumlah perbelanjaan iklan akan mencapai dua angka di seluruh dunia pada 2011,” kata Gerald Miranda, Ketua Eksekutif ZenithOptimedia Malaysia, dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.Beliau berkata, iklan dalam internet akan menguasai lebih 10 peratus keseluruhan perbelanjaan iklan dalam dua pasaran tahun ini, iaitu United Kingdom (UK) sebanyak 12.9 peratus dan Sweden 10.5 peratus.“Ini adalah kali pertama perbelanjaan iklan dalam internet mencapai dua angka,” katanya.Pada 2008, perbelanjaan dalam internet bagi lapan pasaran diramal melebihi 10 peratus, iaitu di Australia, Israel, Jepun, Norway, Korea Selatan dan Taiwan, dengan UK dan Sweden masing-masing 17.2 peratus dan 13.3 peratus.Jumlah perbelanjaan iklan dalam internet akan mengatasi jumlah perbelanjaan iklan luar premis tahun ini dan ia menyaingi jumlah perbelanjaan iklan di radio.Jurang antara jumlah perbelanjaan iklan dalam internet dan radio diramal mengecil daripada 3.9 peratus pada 2005 kepada 0.7 peratus pada 2008.Bagaimanapun, pengiklan dalam 10 kategori teratas telah mengambil langkah berhati-hati untuk memasuki pasaran iklan dalam internet.Antara 2001 hingga 2005, jumlah peruntukan iklan dalam internet meningkat daripada 2.2 peratus kepada 3.2 peratus.Dalam tempoh yang sama, jumlah perbelanjaan iklan dalam internet melonjak daripada 2.5 peratus kepada 4.7 peratus.“Ini bermakna pengiklan kategori kecil telah membelanjakan lebih daripada biasa bagi iklan dalam internet.“Disebabkan iklan dalam internet murah dan berkesan, ia sesuai untuk pengiklan kecil.“Sehubungan itu internet mendorong pengiklan ini membelanjakan lebih daripada biasa, dan bukan hanya mengambil alih perbelanjaan iklan dalam medium lain,” katanya.Perbelanjaan iklan media utama seluruh dunia dijangka tumbuh enam peratus tahun ini, 5.45 peratus tahun depan dan 5.9 peratus 2008.Sehubungan itu pertumbuhannya tetap lebih pantas berbanding kadar pertumbuhan purata sepanjang 10 tahun laku pada lima peratus.Pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang kepada pertumbuhan luar biasa bagi perbelanjaan iklan tahun ini, tetapi sepanjang tempoh unjuran tiga tahun yang dibuat agensi, perbelanjaan iklan di AS dan Eropah akan tumbuh lebih perlahan berbanding 10 tahun lalu.Antara 2005 hingga 2008, dijangkakan perbelanjaan iklan tumbuh pada kadar purata iaitu 4.6 peratus setahun di AS dan 4.3 peratus di Eropah. Antara 1995 dan 2005, kadar pertumbuhannya masing-masing adalah 5.4 peratus dan 4.7 peratus.